BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Thursday, December 1, 2011

Lebih Hebat Daripada Segalanya.

Assalamualaikum... Apa khabar sahabat-sahabat sekalian. Semoga sihat belaka dan sentiasa di bawah lindungan dan peliharaan Allah SWT. Kali ini mahu berkongsi sedikit tentang sebuah kisah yang lebih hebat daripada segalanya. Apa agaknya ya? Ha, mari kita kongsi bersama.. Umum mengetahui bahawa semua ciptaan Allah SWT adalah sangat luar biasa dan unik. Betulkan.. :) Ciptaan-ciptaan Allah di dunia ini tidak ada tolok bandingnya. Semuanya indah-indah belaka. Begitu juga dengan penciptaan bumi. Allah S.W.T. telah mencipta bumi untuk makhluk-makhluknya. Kajadian bumi ini sangat unik. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda tentang kejadian bumi. Pada peringkat awal, bumi ini berada di dalam keadaan yang tidak mantap. Tanah-tanihnya bergelombang bagaikan cecair sebelum Allah S.W.T. menukar bentuk muka bumi ini kepada bentuk yang bergunung-ganang. Gunung ganang ini semuanya berfungsi sebagai pasak kepada bumi. Oleh yang demikian, bentuk muka bumi menjadi lebih kukuh dan stabil dan sesuai didiami oleh makhluk-makhluk yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Kejadian bumi ini cukup sempurna sahabat-sahabat. Subhanallah...


Setelah itu, malaikat ada bertanya kepada Allah, selain gunung batu yang pejal itu, masih adakah yang lebih kukuh dan lebih kuat daripadanya? Allah memberi tahu bahawa selain daripada batu, besi adalah yang paling kuat. Ini adalah kerana besi mempunyai sifat yang sangat keras dan kekerasannya mengatasi kekerasan batu. Oleh yang demikian, manusia mampu mencipta pelbagai jenis jentera yang dapat memusnahkan gunung-ganang dan pelbagai jenis batuan sehingga hancur.

Lalu malaikat bertanya lagi kepada Allah, adakah lagi makhluk yang lebih kuat daripada besi??Lalu Allah menjawab bahawa api mempunyai kekuatan untuk mengatsi besi. Dengan kepanasan yang tinggi, besi dapat dihancurkan.

Kemudian malaikat bertanya pula kepada Allah, apakah yang lebih gagah yang boleh mengatasi kekuatan api? Lalu Allah memberitahu bahawa air berupaya untuk mengatasi kekuatan besi. Ini dapat dibuktikan apabila air digunakan untuk memadam api.

Malaikat bertanya kepada Allah, apakah yang dapat mengatasi kehebatan air? Lalu Allah memberitahu akan malaikat-Nya bahawa angin adalah makhluk-Nya yang dapat mengatasi kekuatan dan kehebatan air. Sebab itu apabila Allah menjadikan sekumpulan angin yang sangat hebat dan kuat bernama taufan, ia boleh menggelorakan lautan sehingga melimpah membanjiri daratan dan memusnahkan segala yang ada di muka bumi.

Namun demikian, malaikat masih tidak jemu bertanyakan kepada Allah tentang makhluk Allah yang lebih hebat daripada segala kejadian yang telah diciptakan oleh Allah. Allah memberitahu kepada malaikat bahawa masih ada makhluk ciptaan-Nya yang lebih hebat daripada segala makhluk yang ada. Dia adalah seorang manusia. Apabila dia bersedekah, tangan kanannya yang menghulurkan sedekah tidak diketahui langsung oleh tangan kirinya.

Maksudnya ialah orang yang bersedekah dengan penuh keihklasan kerana Allah semata-mata, apabila dia bersedekah, dia merahsiakannya daripada pengetahuan orang lain. Kekuatan menahan diri daripada membocorkan rahsia tentang perlakuan sedekah itu dianggap lebih kukuh daripada batu dan besi.

Allah menjelaskan bahawa, sesiapa dalam kalangan manusia yang dapat menahan diri daripada bersifat riak dan menunjuk-nunjuk ketika menderma dan bersedekah, maka dia adalah makhluk Allah yang kuat. Ini adalah kerana, dia dapat mengekang dorongan nafsu daripada sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakkan amalan bersedekah.

Jadi sahabat-sahabat sekalian, tepuk dada tanyalah iman kita, bagaimanakah agaknya perlakuan kita ketika kita bersedekah. Adakah kita mahu menjadi makhluk yang perkasa pada pandangan Allah, atau pada pandangan manusia? Kadangkala kita fikir kita sudah cukup baik dalam amalan dan perlakuan kita sehari-hari. Namun sedarkah kita akan kelemahan-kelemahan yang tidak kita sedari di dalam kita mengerjakan sesuatu pekerjaan. Adakah kita tidak menyakiti hati orang lain dalam aktiviti kita sehari-hari? Fikir-fikirkan. Muhasabah diri bersama.

0 comments: