BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, July 3, 2011

Isra' Mi'raj

Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya mengharungi bulan Rejab dengan sempurna. Syukur Ya Allah, kerana masih memanjangkan umurku untuk terus menempuh bulan-bulan yang mendatang. Tidak sabar rasa di hati ini untuk berada di bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan kemuliaan, keberkatan, keampunan di sisi Allah SWT. Ya Allah, panjangkanlah umur hamba-Mu ini untuk menempuh bulan Ramadhan. Walaupun Rejab sudah pun melabuhkan tirainya, namun demikian bulan tersebut banyak memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, iaitu satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap risalah kenabian Baginda Rasulullah s.a.w. Allah SWT telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya:  “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tand  tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Sebelum Israk dan Mi’raj Rasulullah S.A.W. telah dibelah dadanya oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A.W. telah dicuci dengan air zamzam dan kemudiannya dibuang titik-titik hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswas yang terdapat pada hati Baginda S.A.W. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.


Nabi Muhammad S.A.W. telah banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T. disepanjang usahanya mengembangkan syiar Islam di Bumi Allah ini. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda melalui Peristiwa Isra' dan mi'raj. Isra' dan Mi'raj merupakan satu perjalanan yang telah mempertemukan Baginda dengan Para Anbia' di sepanjang perjalanannya sehinggalah akhirnya Baginda telah diperkenankan bertemu dengan Allah di Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit untuk menerima kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Selain daripada itu Isra' dan mi'raj ini juga telah memaparkan banyak peristiwa kepada kita tentang gambaran nikmat dan azab kehidupan selepas kematian, Kesemua ini telah dipertontonkan kepada Rasulullah s.a.w Isra' dan Mi'raj.

Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. di sepanjang pengembaraan Malam Isra' dan mi'raj ialah;
  1. Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
  2. Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
  3. Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melalukan perbuatan zina.
  4. Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
  5. Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
  6. Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.

Banyak lagi sebenarnya rentetan peristiwa yang telah dilihat oleh Baginda Rasulullah S.A.W. ketika baginda berada di sana. Sesungguhnya, segala peristiwa yang telah dilihat oleh Baginda adalah sebagai peringatan dan amaran daripada Allah kepada kita semua sebagai hamba-Nya agar kita dapat mencegah daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang mungkar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T. Sebagai seorang hamba, kita sewajarnya merasa takut dengan ancaman-ancaman yang telah ditunjukkkan oleh Allah S.W.T. Ini secara tidak langsung dapat menjadikan kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Jaga diri, Jaga Iman, Jaga amal... Muhasabah diri yang hina ini.
Wassalam..

0 comments: