BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, July 24, 2011

Syukur kepada-Nya

Sudah lumrah hamba-Nya yang lemah. Sentiasa menagih kepada Yang Maha Kuasa. Maka berdoalah. Namun : Ketika Allah cepat memakbulkan hajat hamba-Nya, boleh jadi Allah sangat sayangkn hamba-Nya. Ketika Allah menangguhkan hajat hamba-Nya, boleh jadi Allah mahu menguji keimanan hamba-Nya kepada-Nya. Namun, andai kata Allah masih belum memakbulkan hajat hamba-Nya, maka ketahuilah bahawa Allah merancang sesuatu yang lebih baik untuk hamba-Nya. Kita merancang, Allah juga merancang. Tetapi Allah jualah sebaik-baik perancang, Semoga diriku dan dirimu berada di dalam rahmat dan redha Allah sepanjang masa. Sujud syukur pada-Nya, atas segala nikmat yang diberi..

Wednesday, July 6, 2011

3:158

Tanpaku sedari Rejab telah pun melabuhkan tirainya. Syaaban pula hadir sebagai pengganti bersama puing-puing kelopak sakura yang sangat indah dan menenangkan. Sememangnya mendamaikan jiwa. Walau masih di awal Syaaban, sinar Ramadhan semakin menampakkan ketenangan, kedamaian dan keikhlasan dibalik ruang dan waktu. Ramadhan..... Bulan seribu bulan. Bulan yang penuh dengan keberkatan, keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah SWT.  Ya Allah.... Tidak sabar daku menanti ketibaan bulan yang sangat mulia ini di sisi-Mu.

Ohh, ya... Hampir memasuki 6 Syaaban. Mesej yang masuk ke dalam inbox S.E. petang tadi mengingatkan daku tentang tarikh ini. Pesanan itu disampaikan dari ayahanda Tuan Syed. Tersetuh hati, hinggakan tidak terbalas pesanannya itu. Namun hati kecil ini yakin, bahawa ayahanda dan bonda juga mengerti, yakin mereka semakin kuat menyelusuri jalan-jalan hidup sebagai seorang daie. Sebagai hamba-Nya, daku yakin ayahanda dan bonda tentang segalanya. Yang pergi tetap pergi, namun yang hidup ini, masih banyak lagi yang perlu dikutip sebagai persiapan menyertai yang telah pergi. Teringat akan kata-kata dari Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat "Seorang yang bijak bukanlah seorang yang menerima ijazah semata-mata tetapi orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati". Setahun sudah berlalu. Bagaikan semalam baru bersama. Suka, duka, tawa, gembira, riang dan ria masih dirasakan. Kehilangan Allayarhamah Kekanda tercinta genap setahun berlalu. Kehilangan yang amat dirasai. Bagaikan semalam dia bersama-sama hadir dalam majlis ilmu, bergerak kerja dalam program dan hangatnya Ramadhan dan Eidul Fitri  bersamanya. Namun kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Masih segar lagi dalam ingatan ketika melihat dia menyertai nuqabah. Kekanda mempunyai bakat seorang naqibah yang baik. Kecekalannnya menyampaikan risalah Islam cukup jelas terpancar. Siapa sangka kini dia telah meninggalkan kami dalam keadaan diri ini masih memerlukan bantuan dan bimbingannya. Segala sumbangan dan jasa yang telah diberikan hanya Allah sahaja mampu membalasnya.

[Adapun kematian itu, suatu hikmah yang Allah s.w.t telah jadikan buat umat manusia. Ditakdirkan bahawa semua manusia itu mempunyai ajalnya masing-masing,  mungkin sekumpulan manusia mempunyai ajal yang sama detiknya, namun begitu tidak semua manusia akan menemui ajalnya serentak pada suatu masa. Itulah hikmahnya pada manusia, sebahagian darinya Allah s.w.t tarik nyawanya untuk kembali ke pangkuan-Nya, namun begitu sebahagian dari umat manusia yang masih ada di sini, Allah s.w.t terus memberikan nyawa kepadanya untuk terus hidup. Tujuan Allah jadikan senario sedemikian, sebahagian mati dan sebahagian hidup, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan kematian itu satu iktibar dan ada hikmah buat pengajaran bersama.] 


“Banyak lagi yang tidak diketahui. Semua itu perlu kutambah sebelum kupergi menghadap-Nya.”

Muhasabah diri..
Wassalam..

Monday, July 4, 2011

Cabaran Fasa Ke-2 Bermula..

Assalamualaikum...

Alhamdulillah, syukur kehadrat Illahi kerana selesai sudah melaporkan diri di sekolah Kebangsaan Seri Suria, Jalan Puchong, KL bagi melaksanakan praktikum fasa yang kedua ini. Hari pertama inilah sangat penting. Ini adalah kerana di hari pertama inilah kita dapat mengenal “gambaran” tentang pentadbiran sekolah, persekitaran sekolah, guru-guru, murid-murid dan sebagainya. Bagaimanakah pula gambaran tentang SK Seri Suria??? Urm, seronok sebenarnya berada di sekolah ini. Guru-gurunya baik, peramah. Persekitaran sekolah pun baik. Cuma cabaran dari segi murid-muridnya. Dimaklumkan tadi oleh beberapa orang guru bahawa sekolah tersebut berada pada kedudukan ketiga tercorot dalam senarai sekolah rendah dari segi prestasi akademik dan kokurikulumnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jadi, cabaran bagi saya dan rakan-rakan di sini untuk mendidik mereka dan seboleh-bolehnya kami perlu membantu meningkatkan prestasi akademik mereka. (Tanamkan azam)

Berpraktikum di SK Seri Suria bersama 3 orang lagi rakan. Kesemua lelaki dan disertai dengan 3 orang lagi guru pelatih dari IPBA (2 lelaki seorang perempuan) yang mengambil major Kajian Sosial. Kami berempat mengajar BM dan mereka pula mengajar kajian tempatan. Jadi praktikum kali ini agak meriah juga. Selepas perhimpunan terus dapat jadual kelas. Kalau dulu hanya memegang satu sahaja kelas tahun 5 dengan waktu mengajar adalah sebanyak 10 waktu. Namun kali ini waktu mengajar adalah sebanyak 12 waktu dengan wajaran 10 waktu untuk Bahasa Melayu (Tahun 4S dan 4U) serta 2 Waktu untuk Pendidikan Jasmani (Tahun 3S dan 2I). Banyakkan. Nampak seperti akan menjadi sangat-sangat sibuk dan meletihkan untuk mengajar kelas yang banyak ini. Belum lagi hendak mengingati nama-nama murid tersayang bagi 4 kelas yang berbeza ini dan melayani karenah mereka yang pelbagai. Cabaran semester ini. Insya Allah..Sudah masuk ke kelas 4U dan 3S.. ok sahaja.. :)

Hari ini ke sekolah tidak memandu, tetapi menunggang motorsikal dengan rakan praktikum. Namun, agak malang kerana pagi-pagi lagi sudah terlibat dengan kecelakaan jalan raya. Bunyi macam teruk sahaja. Hu3. Sebenarnya terjatuh dari motorsikal ketika baru beberapa meter memulakan perjalanan menuju ke sekolah. Membonceng dibelakang, namun sempatlah juga menahan daripada terseret di atas jalan. Sedikit luka di tapak tangan, siku, peha, lutut dan betis, kugagahkan jua ke sekolah. Pengalaman menarikkan. Akan dikenang.. ^^Petangnya menuju ke PPUM untuk mendapatkan sedikit rawatan di bhg lutut dan nasihat dari seorang sahabat yang sedang berpraktikal di sana dan kemudian menuju ke Kerinci untuk ‘photostat’ bahan praktikum. Tidak sabar untuk di’observe’ kerana selepas dicerap, menandakan bahawa cuti raya bakal bermula. ^^

Jaga solat, hati, iman dan amal...
Wassalam..

Sunday, July 3, 2011

Isra' Mi'raj

Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya mengharungi bulan Rejab dengan sempurna. Syukur Ya Allah, kerana masih memanjangkan umurku untuk terus menempuh bulan-bulan yang mendatang. Tidak sabar rasa di hati ini untuk berada di bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan kemuliaan, keberkatan, keampunan di sisi Allah SWT. Ya Allah, panjangkanlah umur hamba-Mu ini untuk menempuh bulan Ramadhan. Walaupun Rejab sudah pun melabuhkan tirainya, namun demikian bulan tersebut banyak memperingatkan kita dengan satu peristiwa bersejarah yang dilalui oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, iaitu satu peristiwa yang menguji keyakinan umat Islam terhadap risalah kenabian Baginda Rasulullah s.a.w. Allah SWT telah menunjukkan rasa kasih-Nya kepada Baginda Rasulullah s.a.w. melalui Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Peristiwa ini bersabit dengan firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Isra’ ayat yang pertama maksudnya:  “Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya (dengan diturunkan nabi-nabi di negeri itu dan kesuburan tanahnya), agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tand  tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Sebelum Israk dan Mi’raj Rasulullah S.A.W. telah dibelah dadanya oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A.W. telah dicuci dengan air zamzam dan kemudiannya dibuang titik-titik hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswas yang terdapat pada hati Baginda S.A.W. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.


Nabi Muhammad S.A.W. telah banyak menerima ujian daripada Allah S.W.T. disepanjang usahanya mengembangkan syiar Islam di Bumi Allah ini. Rentetan daripada ujian-ujian inilah maka Anugerah Kemuliaan telah diberikan oleh Allah SWT kepada Baginda melalui Peristiwa Isra' dan mi'raj. Isra' dan Mi'raj merupakan satu perjalanan yang telah mempertemukan Baginda dengan Para Anbia' di sepanjang perjalanannya sehinggalah akhirnya Baginda telah diperkenankan bertemu dengan Allah di Sidratulmuntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan menembusi tujuh lapisan langit untuk menerima kefardhuan solat lima waktu sehari semalam. Selain daripada itu Isra' dan mi'raj ini juga telah memaparkan banyak peristiwa kepada kita tentang gambaran nikmat dan azab kehidupan selepas kematian, Kesemua ini telah dipertontonkan kepada Rasulullah s.a.w Isra' dan Mi'raj.

Antara gambaran azab siksaan yang telah dipertontonkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w. di sepanjang pengembaraan Malam Isra' dan mi'raj ialah;
  1. Peristiwa sekumpulan manusia yang menghentak kepala mereka ke batu. Ini adalah gambaran orang-orang yang lalai mengerjakan solat.
  2. Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan tumbuh-tumbuhan berduri. Ini pula merupakan gambaran mengenai orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat.
  3. Peristiwa sekumpulan manusia yang memakan daging busuk sedangkan di tangannya ada daging yang baik. Ini pula adalah gambaran orang-orang yang melalukan perbuatan zina.
  4. Peristiwa sekumpulan manusia yang meletakkan bebanan demi bebanan di atas belakangnya sedangkan dia sudah tidak mampu lagi untuk memikulnya. Inilah gambaran orang-orang yang tidak layak memegang sesuatu amanah tetapi sanggup mengambil amanah tersebut sedangkan dia tidak mampu untuk melaksanakannya.
  5. Peristiwa sekumpulan manusia yang berenang di dalam lautan darah sedangkan mulutnya diisi dan dipenuhi dengan batu. Inilah gambaran orang yang memakan riba.
  6. Peristiwa yang tidak kurang dahsyatnya juga ialah mengenai sekumpulan manusia yang mencakar-cakar wajah mereka dengan kuku yang tajam, kemudian mereka mengambil cebisan daging mereka sendiri dan memakannya, kemudian mereka pula mengambil daging orang lain yang berbau busuk lalu memakan daging tersebut. Inilah gambaran orang-orang yang mengumpat dan memburuk-burukkan orang lain.

Banyak lagi sebenarnya rentetan peristiwa yang telah dilihat oleh Baginda Rasulullah S.A.W. ketika baginda berada di sana. Sesungguhnya, segala peristiwa yang telah dilihat oleh Baginda adalah sebagai peringatan dan amaran daripada Allah kepada kita semua sebagai hamba-Nya agar kita dapat mencegah daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang mungkar yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T. Sebagai seorang hamba, kita sewajarnya merasa takut dengan ancaman-ancaman yang telah ditunjukkkan oleh Allah S.W.T. Ini secara tidak langsung dapat menjadikan kita sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Jaga diri, Jaga Iman, Jaga amal... Muhasabah diri yang hina ini.
Wassalam..