BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru


Bismillahirrohmanirrohim....
Assalamualaikum w.b.t....
Entri kali ini dimulakan dengan sebuah sajak nukilan Usman Awang.



Guru Oh Guru..

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Esok adalah Hari Guru. Disebabkan terlalu bersemangat, maka post ini ditulis awal... ^^. Tanyalah kepada siapapun yang bergelar insan, sudah tentu ramai menyatakan bahawa tanggal 16 Mei itu adalah merupakan satu tarikh keramat bagi setiap tahun kerana pada tarikh ini, guru-guru diraikan untuk mengenang jasa mereka yang telah banyak berbakti dalam mendidik, mengajar dan mencurahkan ilmu demi melahirkan anak-anak bangsa yang cemerlang. Pepatah Melayu mengatakan, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”. Ini menunjukkan bahawa pengorbanan seorang guru itu adalah amat besar kerana mereka sanggup berkorban untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak bangsa. Tanpa guru, maka pincanglah anak bangsanya di bumi tercinta. Dari pekerja biasa sehingga menjadi perdana menteri, semuanya adalah hasil didikan seorang guru dengan penat dan lelahnya mengajar menulis dan membaca. Semuanya bermula daripada seorang guru dengan ilmu-ilmu yang dicurahkannya kepada kita sehingga kita berjaya menjadi insan yang berguna.

Kepada guru-guru dan para pensyarah yang telah mengajar dan mendidikku ~Selamat Hari Guru~. Dedikasi terutamanya kepada Cikgu Fadli. Halalkan ilmu yang telah diberi. Insya Allah, kecemerlangan kalian dalam mendidik anak bangsa akanku teruskan tidak lama lagi. Doakan kejayaan itu. Kepada Bonda dan Ayahanda ~Selamat Hari Guru~ juga buat kalian berdua. Selamat hari guru kepada warga sekolah dan IPG yang telah berjasa kepada diri ini, SK Seri Utama, SRA Ehyaul Fallah, SMK Seri Bedena, SMS Muar, ~praktikum & PBS~ SK Bandar Sungai Buaya SK Panchang Bedena, SK Simpang Lima, SK Seri Kelana, SK Dusun Tua, SK Seri Petaling dan IPG Kampus Bahasa Melayu.

Risau menyelubungi diri tatkala memikirkan tentang perjalanan hidup ini yang bakal menggalas amanah untuk bergelar seorang guru. Hakikatnya, semua orang boleh mengajar, tetapi tidak semuanya mampu mendidik. Mengajar dan mendidik adalah dua perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan tersendiri. Tugas sebagai guru ini bukan saja mengajar, malah yang lebih penting dalam melengkapkan proses pengajaran ialah menyelitkan unsur nasihat. Elemen ini dapat mendidik insan menjadi individu cemerlang akademik, AGAMA dan memiliki sahsiah terpuji. Insya Allah, mudah-mudahan amanah ini dapat dipegang dan dijalankan dengan baik dan penuh rasa bertanggungjawab. Petang tadi menyambung bacaan sebuah buku nukilan penulis tempatan yang berkongsi tentang cerita di dunia pendidikan. Antara yang menarik di dalam buku ini adalah tentang syarat keperibadian seorang guru mengikut pandangan Imam Al-Ghazali. Harap dapat menjadi panduan kepada sahabat-sahabat serta pembaca yang disayangi sekalian.^^

Terdapat beberapa syarat yag telah digariskan oleh Imam Al-Ghazali yang menjurus kepada keperibadian guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan kepada pelajarnya seperti yang dicatat oleh H.M. As’ad Al-Hafiz (abdul Salam Yusoff, 2003). Antara syarat-syaratnya ialah :

1.    Sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik.
2.    Sentiasa bersifat kasih sayang dan tidak pilih kasih.
3.    Jika duduk hendaklah dengan bersopan, tunduk dan tiadak riak.
4.    Tidak takbur kecuali kepada orang yang zalim iaitu dengan tujuan untuk mencegah tindakan zalim tersebut.
5.    Bersifat tawaduk dalam perbincangan.
6.    Sikap dan perbicaraan bersungguh-sungguh.
7.    Menanam sifat bersahabat dalam dirinya terhadap semua pelajarnya.
8.    Bersabar
9.    Membimbing dan mendidik pelajar sebaiknya.
10. Berani berkata “tidak tahu” terhadap sesuatu yang tidak difahami.
11. Menampilkan hujah yang benar dan sentiasa menegakkan kebenaran.

Sahabat-sahabatku sekalian, marilah kita bersama-sama menanamkan azam di dalam diri kita untuk beramal dengan sunnah Rasulullah SAW di dalam kehidupan seharian kita termasuklah dalam urusan pekerjaan kita terutamanya kepada semua guru pelatih yang bakal menjadi guru. Mudah-mudahan kita akan digolongkan di dalam golongan “IKHWAN” yang dirindui Rasulullah SAW sebagaimana yang digambarkan di dalam hadis Riwayat Imam Muslim :

Pada suatu hari Rasulullah SAW menangis maka para sahabat Baginda pun bertanya : “Apa yang membuat engkau menangis wahai Rasulullah?” maka Baginda pun menjawab, “Aku sangat rindu kepada Ikhwanku.” Maka sahabat pun berkata, “Bukankah kami ini Ikhwanmu Ya Rasulullah?” Baginda pun menjawab, “Tidak, kalian adalah sahabatku. Manakala Ikhwanku pula ialah segolongan manusia yang hidup selepasku. Mereka menemaniku tetapi mereka tidak pernah melihatku.”

~Mesej terakhir bertarikh 16 Mei 2010 untuk ucapan hari guru yang diterima olehku daripadanya itu menjadi kekuatan kepada diri ini untuk terus menetapkan hati di dalam bidang ini. Insya Allah.. Semoga diberkati-Nya..
~SELAMAT HARI GURU~

Wassalam...

0 comments: