BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, May 28, 2011

Sedikit Banyak Sedikit Banyak


Assalamualaikum... Syukur...


Betul kata mereka.. Menulis ni kena ada mood... Terfikir juga diri ini sebentar tadi, sangatlah malas hendak menulis... Namun secara tiba-tiba, mood menulis itu muncul.. Konsep cetusan minda, luahan rasa seperti mana yang diterangkan prof. Mokhtar memang tidak boleh disimpan.. Lumrah kejadian manusia, mempunyai sifat yang sedemikian. Pelbagai bentuk luahan dan cetusan, namun kemuncaknya berbeza mengikut keselesaan atau kreativiti individu itu sendiri. (Penangan kelas penulisan kreatif sem 4). Cuma luahan atau idea yang hendak disiapkan ini harap-harapnya berbentuk Ilmiah atau akademik.. Paling tidak pun dapatlah saya berbuat sesuatu untuk Islam dengan cara ini. Insya Allah, mahu menyambung sedikit penulisan yang sudah berbulan-bulan ditinggalkan. Hasilnya tidak tahu bila akan dapat disiapkan.. mungkin sebulan lagi? Setahun? Sepuluh tahun?Wallahualam.. Hatta novel Salina pun diperam oleh penulisnya selama 15 tahun... Masih perlu belajar... belajar... belajar... (CARI GALI ILMU). Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.. Moga dimurahkan rezeki.... Insya Allah... Apabila selesai, ingin sekali menghadiahkannya khas buat yang teristimewa... Ingat, anda juga adalah merupakan guru sastera.. Bukan sekadar bahasa dan PJ..Jangan lupa... Tak rugi belajar... Belajarlah... Jangan difikirkan hal yang remeh temeh.... Kerana inilah masa dan ketikanya untuk diriku dan dirimu bertindak... Segeralah beramal... Tuntutlah Ilmu sampai ke liang lahat.. (Muhasabah diri ini)

Terima Kasih...
Semoga Berjaya...

Thursday, May 19, 2011

Gapai Cita-Citamu...



Tahniah Jirahh!! Kerana anda telah ditawari untuk mengikuti kursus di UiTM Pulau Pinang. Akhirnya berjaya juga menjejakkan kaki ke menara KL (gading). Jangan sesekali ada rasa “sesal” dengan kursus yang telah dipilih kerana itu adalah pilihan pertama anda semasa mengisi borang UPU. Jika betul-betul minat, Alhamdulillah. Belajar rajin-rajin. Jangan malas-malas. Jangan nakal-nakal. Balas segala jasa kedua orang tua yang telah membesarkanmu. Maaf kerana tidak dapat ikut serta ke sana esok. Ingat Allah selalu. All The Best...

~2 diperantauan, tinggal 2 di halaman..

Tuesday, May 17, 2011

Ujian Yang Melanda


Ujian dalam kehidupan adalah merupakan lumrah kepada hamba-Nya yang bergelar manusia. Mereka tidak akan terlepas dengan pelbagai ujian yang diberikan oleh Allah kepada mereka. Melalui ujian, Allah SWT mahu menguji manusia siapakah yang lebih baik amalannya disisi-Nya. Bersyukur kerana diuji oleh Allah. Itu menandakan Allah masih menyayangi diri kita.

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar : (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.” Mereka itu adalah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya. (Al-Baqarah : 155-157)

Sayid Qutub berkata, Umat Islam pasti diuji dengan kesusahan supaya pegangan hati mereka bertambah kukuh dan kuat. Ini adalah kerana kesusahan-kesusahan dan penderitaan itulah yang akan dapat merangsang segala kekuatan dan daya tenaga mereka yang terpendam dan tersimpan. Kekuatan itu dapat membuka pintu-pintu dan lorong-lorong rahsia di dalam hati yang tidak dapat diketahui oleh seorang mukmin kecuali ia berada dibawah tekanan kesusahan dan penderitaan.

“Sekiranya seseorang itu memberikan segelas perahan limau masam, maka ambillah segenggam gula dan kacau padanya maka natijahnya menjadi masam manis dan lazat diminum.” Dr Aidh Al-Qarni. Duhai hati. Moga ditabahkan hati atas segala ujian yang melanda. Semoga ujian yang ini menjadi suatu asas yang dapat merangsang kekuatan hati untuk terus beribadah kepada-Nya. Semoga kita menjadi ummah yang terbilang dan sanggup menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar demi Islam.

~Semoga diberikan kekuatan kepada diri ini.
Wassalam..

Monday, May 16, 2011

Examination MooD

Bismillahirrohmanirrohim....
Assalamualaikum....

Detik demi detik, hari berganti hari... Akhirnya tiba juga dikau wahai EXAM... hu3..



Tidak terasa.. Seperti baru semalam mendaftarkan diri untuk semester 5, tip tap dup dap, Khamis ini peperiksaan bakal bermula. Ya Allah, pantas sungguh masa berlalu. Apa yang telah daku lakukan di masa yang lepas??? Harap-harap segala amalan yang telah dilakukan sebelum ini mendapat keredhaan Allah. Muhasabah diri... Kepada sahabat-sahabat sekalian, ampun dan maaf dipinta andai diri ini melakukan kesilapan tambah-tambah kesilapan yang tidak disedari atau tidak disengajakan. Takut juga terlepas pandang, tanpa disedari telah mengguris hati kalian. Ampun maaf dihulurkan dari tangan turun ke hati.

 
Selamat menduduki peperiksaan kepada semua sahabat sekalian. Semoga apa yang dipelajari sepanjang semester ini bukan sahaja dapa diluahkan di atas kertas peperiksaan, tetapi juga dapat diaplikasi di dalam kehidupan kita sebagai seorang INSAN yang bergelar PENDIDIK.
 
Wassalam..

Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru


Bismillahirrohmanirrohim....
Assalamualaikum w.b.t....
Entri kali ini dimulakan dengan sebuah sajak nukilan Usman Awang.



Guru Oh Guru..

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Esok adalah Hari Guru. Disebabkan terlalu bersemangat, maka post ini ditulis awal... ^^. Tanyalah kepada siapapun yang bergelar insan, sudah tentu ramai menyatakan bahawa tanggal 16 Mei itu adalah merupakan satu tarikh keramat bagi setiap tahun kerana pada tarikh ini, guru-guru diraikan untuk mengenang jasa mereka yang telah banyak berbakti dalam mendidik, mengajar dan mencurahkan ilmu demi melahirkan anak-anak bangsa yang cemerlang. Pepatah Melayu mengatakan, “Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”. Ini menunjukkan bahawa pengorbanan seorang guru itu adalah amat besar kerana mereka sanggup berkorban untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak bangsa. Tanpa guru, maka pincanglah anak bangsanya di bumi tercinta. Dari pekerja biasa sehingga menjadi perdana menteri, semuanya adalah hasil didikan seorang guru dengan penat dan lelahnya mengajar menulis dan membaca. Semuanya bermula daripada seorang guru dengan ilmu-ilmu yang dicurahkannya kepada kita sehingga kita berjaya menjadi insan yang berguna.

Kepada guru-guru dan para pensyarah yang telah mengajar dan mendidikku ~Selamat Hari Guru~. Dedikasi terutamanya kepada Cikgu Fadli. Halalkan ilmu yang telah diberi. Insya Allah, kecemerlangan kalian dalam mendidik anak bangsa akanku teruskan tidak lama lagi. Doakan kejayaan itu. Kepada Bonda dan Ayahanda ~Selamat Hari Guru~ juga buat kalian berdua. Selamat hari guru kepada warga sekolah dan IPG yang telah berjasa kepada diri ini, SK Seri Utama, SRA Ehyaul Fallah, SMK Seri Bedena, SMS Muar, ~praktikum & PBS~ SK Bandar Sungai Buaya SK Panchang Bedena, SK Simpang Lima, SK Seri Kelana, SK Dusun Tua, SK Seri Petaling dan IPG Kampus Bahasa Melayu.

Risau menyelubungi diri tatkala memikirkan tentang perjalanan hidup ini yang bakal menggalas amanah untuk bergelar seorang guru. Hakikatnya, semua orang boleh mengajar, tetapi tidak semuanya mampu mendidik. Mengajar dan mendidik adalah dua perkara yang begitu sinonim, tetapi setiap perkataan mempunyai pengertian serta terjemahan tersendiri. Tugas sebagai guru ini bukan saja mengajar, malah yang lebih penting dalam melengkapkan proses pengajaran ialah menyelitkan unsur nasihat. Elemen ini dapat mendidik insan menjadi individu cemerlang akademik, AGAMA dan memiliki sahsiah terpuji. Insya Allah, mudah-mudahan amanah ini dapat dipegang dan dijalankan dengan baik dan penuh rasa bertanggungjawab. Petang tadi menyambung bacaan sebuah buku nukilan penulis tempatan yang berkongsi tentang cerita di dunia pendidikan. Antara yang menarik di dalam buku ini adalah tentang syarat keperibadian seorang guru mengikut pandangan Imam Al-Ghazali. Harap dapat menjadi panduan kepada sahabat-sahabat serta pembaca yang disayangi sekalian.^^

Terdapat beberapa syarat yag telah digariskan oleh Imam Al-Ghazali yang menjurus kepada keperibadian guru sebagai penyampai ilmu pengetahuan kepada pelajarnya seperti yang dicatat oleh H.M. As’ad Al-Hafiz (abdul Salam Yusoff, 2003). Antara syarat-syaratnya ialah :

1.    Sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik.
2.    Sentiasa bersifat kasih sayang dan tidak pilih kasih.
3.    Jika duduk hendaklah dengan bersopan, tunduk dan tiadak riak.
4.    Tidak takbur kecuali kepada orang yang zalim iaitu dengan tujuan untuk mencegah tindakan zalim tersebut.
5.    Bersifat tawaduk dalam perbincangan.
6.    Sikap dan perbicaraan bersungguh-sungguh.
7.    Menanam sifat bersahabat dalam dirinya terhadap semua pelajarnya.
8.    Bersabar
9.    Membimbing dan mendidik pelajar sebaiknya.
10. Berani berkata “tidak tahu” terhadap sesuatu yang tidak difahami.
11. Menampilkan hujah yang benar dan sentiasa menegakkan kebenaran.

Sahabat-sahabatku sekalian, marilah kita bersama-sama menanamkan azam di dalam diri kita untuk beramal dengan sunnah Rasulullah SAW di dalam kehidupan seharian kita termasuklah dalam urusan pekerjaan kita terutamanya kepada semua guru pelatih yang bakal menjadi guru. Mudah-mudahan kita akan digolongkan di dalam golongan “IKHWAN” yang dirindui Rasulullah SAW sebagaimana yang digambarkan di dalam hadis Riwayat Imam Muslim :

Pada suatu hari Rasulullah SAW menangis maka para sahabat Baginda pun bertanya : “Apa yang membuat engkau menangis wahai Rasulullah?” maka Baginda pun menjawab, “Aku sangat rindu kepada Ikhwanku.” Maka sahabat pun berkata, “Bukankah kami ini Ikhwanmu Ya Rasulullah?” Baginda pun menjawab, “Tidak, kalian adalah sahabatku. Manakala Ikhwanku pula ialah segolongan manusia yang hidup selepasku. Mereka menemaniku tetapi mereka tidak pernah melihatku.”

~Mesej terakhir bertarikh 16 Mei 2010 untuk ucapan hari guru yang diterima olehku daripadanya itu menjadi kekuatan kepada diri ini untuk terus menetapkan hati di dalam bidang ini. Insya Allah.. Semoga diberkati-Nya..
~SELAMAT HARI GURU~

Wassalam...

Friday, May 6, 2011

Soal Jawab...


Perkongsian Ilmu.

“Jika bukan kerana bertanya, pasti ilmu akan lenyap.”
[Riwayat Imam Darumi]


Membelek-belek buku yang terdapat dalam loker. Di bahagian atas sekali, berhabuk sudah... Menandakan sudah lama tuan punya loker tidak membelek buku di rak itu, hu3.. Pilih sebuah buku, dan baca. Tertarik tentang kaedah pengajaran yang digunakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Banyak kaedah yang digunakan untuk menarik minat belajar. Antaranya yang hendak dikongsikan di sini ialah kaedah "Soal Jawab". Kaedah soal jawab ialah satu kaedah pengajaran yang berpusatkan murid. Teknik ini merupakan kaedah yang terbaik bagi menarik minat pelajar untuk terlibat aktif dalam sesi pembelajaran di dalam kelas a.k.a bilik darjah (dalam silbus). Kebiasaannya, apabila guru kerap bertanya, pelajar akan lebih menumpukan perhatian terhadap isi pelajaran yang sedang disampaikan oleh guru. Ini adalah kerana mereka bimbing yang mereka tidak dapat menjawab soalan yang diajukan oleh guru kepada mereka. Budaya bersoal jawab ini bukan sahaja menyebabkan pelajar lebih bersedia dengan pelbagai pengetahuan tentang topik yang akan dipelajari, malah guru juga harus membuat persiapan yang rapi sebelum mengajar kerana dikhuatiri guru tidak dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh pelajar mereka sendiri.. ^^

Kaedah bersoal jawab ini juga adalah merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh baginda Rasulullah SAW di saat baginda menyampaikan ilmu kepada para sahabatnya.

Abu Qatadah Ibnu Rib’i Al-Ansari r.a. menerangkan bahawasanya satu jenazah telah dibawa berlalu dihadapan Rasulullah SAW maka berkatalah Baginda, “Orang yang berstirahat atau orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya.” Para sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, siapakah orang yang pergi beristirahat dan siapakah orang yang pergi supaya orang lain beristirahat daripadanya?’. Nabi pun menjawab, “ Hamba yang mukmin pergi beristirahat daripada kepayahan dunia dan gangguannya daripada rahmat Allah. Dan hamba yang fasiq, beristirahat daripadanya segala hamba Allah, negeri, pohon dan binatang.”
[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]


As-Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah di dalam bukunya yang bertajuk “Nabi Muhammad : Guru Dan Pendidik Terulung” menjelaskan bahawa kaedah soal jawab haruslah dipraktikkan kerana kaedah ini mempunyai kesan yang positif. Bahkan kaedah ini juga memberikan kefahaman yang jelas kepada golongan pendengar berbanding dengan kaedah sehala.

Bersoal jawab membawa kesedaran

Kaedah ini telah digunakan oleh Nabi Muhammad SAW. Ini dibuktikan dalam sebuah hadis yang menceritakan tentang dialog Nabi SAW dengan seorang lelaki yang telah memohon kepada Nabi untuk berzina. Pada ketika itu, Nabi SAW telah menggunakan teknik bersoal jawab sehingga menimbulkan kesedaran di dalam diri pemuda tersebut bahawa berzina adalah sesuatu yang tidak baik dan WAJIB ditinggalkan. Akhirnya lelaki ini berubah dan meninggalkan niatnya itu. Jom kita hayati Hadis ini :
Dari Abu Umamah r.a. ia mengatakan bahawa telah datang seorang pemuda menghadap Rasulullah SAW, lalu berkata :

“Wahai Rasulullah, Izinkan aku berzina!”
Orang-orang yang ada di sekitarnya menghampiri pemuda itu lalu memakinya.
“Celaka kau, celakaa kau!”
Tetapi, Rasulullah SAW mendekati pemuda itu dan duduk disampingnya. Kemudian, terjadilah dialog diantara pemuda tersebut dengan Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bertanya,
“Wahai pemuda, apakah engkau ingin (zina) itu terjadi kepada ibumu?”
Si pemuda itu pun menjawab :
“Sekali-kali tidak! Demi Allah yang telah menjadikan aku sebagai tebusan tuan.”
Maka bersabda Rasulullah SAW :
“”Begitu juga orang lain. Mereka tidak ingin (zina) itu terjadi kepada ibu mereka.”
Rasulullah bertanya lagi :
“Apa engkau mahu (zina) itu terjadi kepada saudara-saudara perempuanmu?”
Si pemuda itu pun menjawab :
“Sekali-kali tidak! Demi Allah yang telah menjadikan aku sebagai tebusan tuan.”
Maka bersabda Rasulullah SAW :
“”Begitu juga orang lain. Mereka tidak ingin (zina) itu terjadi kepada saudara-saudara perempuan  mereka.”
Rasulullah bertanya lagi :
“Apa engkau mahu (zina) itu terjadi kepada saudara-saudara perempuan bapamu?”
Si pemuda itu pun menjawab :
“Sekali-kali tidak! Demi Allah yang telah menjadikan aku sebagai tebusan tuan.”
Maka bersabda Rasulullah SAW :
“”Begitu juga orang-orang lain. Mereka tidak ingin (zina) itu terjadi kepada saudara-saudara perempuan  bapa mereka.”
Rasulullah bertanya lagi :
“Apa engkau mahu (zina) itu terjadi kepada saudara-saudara perempuan ibumu?”
Si pemuda itu pun menjawab :
“Sekali-kali tidak! Demi Allah yang telah menjadikan aku sebagai tebusan tuan.”
Maka bersabda Rasulullah SAW :
“”Begitu juga orang-orang lain. Mereka tidak ingin (zina) itu terjadi kepada saudara-saudara perempuan  ibu mereka.”
Kemudian (telapak tanga) Rasulullah SAW menyentuh dada pemuda itu lalu Baginda berdoa, “ Ya Allah, Ampunilah dosanya, sucikanlah hatinya dan peliharalah kemaluannya.”
[Riwayat Imam Ahmad]

~Sahabat-sahabat sekalian, renungilah dengan sedalam-dalamnya hadis ini kerana Rasulullah SAW bukan sahaja mendidik pemuda tersebut malah baginda juga turut membangkitkan kesedaran di dalam diri pemuda itu. Apa yang akan terjadi sekiranya Nabi SAW memarahi pemuda tersebut.. Sudah tentu pemuda tersebut melarikan diri dan menjauhkan diri daripada Nabi SAW. Namun dengan kebijaksanaan Baginda, dengan menggunakan pendekatan yang penuh hikmah, pemuda tersebut berubah dengan sekelip mata. Subhanallah... Indahnya cara Nabi mendidik. Muhasabah diri ini juga...