BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Saturday, April 30, 2011

DSLR

Bukan mengikut orang atau apa sahaja andaian. Tetapi minat yang mendalam terhadap kamera membuatkan diri ini ingin memilikinya. Seperti juga laptop (lepas spm dulu), Iphone, semuanya adalah kerana penangan subjek TMK dan BM Komputer. Banyak maklumat yang sudah dikumpul mengenainya. Tidak selesa meminjam, jadi memilikinya sendiri adalah yang terbaik. Sudah lama, $$ pun sudah mencukupi, tetapi atas faktor lain, terpaksa menangguhkannya. Masih memikirkan sama ada penting atau tidak???? Insya Allah, moga ketemu noktahnya.

~esok ke Low Yat..

Rombongan Warga Sekolah


Bismillahirrohmanirrohim....


Syukur alhamdulillah, akhirnya dapat juga bertemu dengan anak-anak murid serta “rakan” guru dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sungai Buaya (SKBSB) di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Syukur setelah lebih dua minggu tidak berjumpa, semuanya masih dalam keadaan sihat. Terutamanya anak-anak murid 5 Zuhrah yang sihat-sihat belaka. Tidak semua yang pergi, namun kehadiran mereka sedikit sebanyak mengubat rindu di hati.. Terima kasih kepada Cikgu Elia a.k.a. Kak Elia yang telah menjadi watak utama dalam usaha menjayakan program ini. Terima kasih banyak-banyak kak kerana telah sudi menjemput saya dan rakan-rakan praktikum yang lain untuk menyertai program ini. Terima kasih juga kepada cikgu-cikgu yang lain (cikgu azlin, cikgu faridah dll) yang turut menyertai program ke pesta buku kali ini. 
  

Kepada Ibu-ibu (bondanur) di luar sana, anakmu jumpa Eric... :)
I love Islam
Gila-Gila..
Jumpa Rabbani
Ramai betul pecinta novel.. xdan nak tengok..
Hampir semua tempat saya bawa anak-anak murid ni pergi. Karangkraf, Ana Muslim, DBP, Fajar, Pelangi, Ujang, banyak lagi tempat yang dikunjungi. Yang penting, murid-murid ni banyak betul beli buku latihan (Bahasa Melayu paling banyak). hi3.. Nak ambil hati ke apa, wallahualam. Harap-harap kamu semua buatlah latihan pada buku yang sudah dibeli tu ye. Baca semua. :)

Dengan anak murid kesayangan
DBP, ~slot bercerita

Sebelum pulang...

^_^
Sebenarnya saya telah terlewat untuk sampai ke PWTC kerana “terjerat” dengan masalah seorang warga Britain yang cukup sekadar saya gelarkannya sebagai Sam. Berbadan tegap dan berkulit hitam, punyai ketinggian yang hampir sama dengan saya, dia menemui saya ketika saya sedang asyik menunggu ketibaan train LRT Star di Stesen Masjid Jamek dari arah Bukit Jalil ke Sentul. Selepas memberi salam, dia memperkenalkan dirinya kemudian menceritakan masalah yang dihadapinya. Cerita punya cerita maka fahamlah saya bahawa dia mempunyai masalah kewangan untuk membeli tiket kapal terbang ke Senai (tektik biasa yang digunakan oleh sendiket “paw” duit di sekitar KL), tapi kes Sam ni, wallahualam. Seronok dengar ceritanya walaupun dalam hati ada rasa tidak percaya dengan kata-katanya. Maklumlah di KL, berbagai-bagai ragam manusia ada. Dari yang muka sejernih embun sehingga segelap arang, sukar untuk dipercayai hati budi sebenar warganya. Saya pernah ada pengalaman dengan perkara-perkara macam ni. Jadi sudah biasa. Tidak mengapalah, saya pun layanlah cerita Sam ni. Sampai ke stesen PWTC saya mengajaknya ke The Mall. Carikan tempat untuk book tiket ke Senai Airport. Sam kata, tak payah bagi cash, belikan sahaja tiket ke Senai sebagai bukti dia tidak menipu. Siap offer nak bagi henset “mahal” dia. Atas dasar Islam dan ukhwah ~katanya, dia sangat-sangat mengharapkan pertolongan saya untuk membelikannya tiket ke Senai Airport- urgent katanya. Wallahualam, sama ada dia betul-betul jujur atau tidak, itu antara dia dengan Sang Pencipta.  Sampai sahaja di kaunter penerbangan, saya hanya menjumpai kaunter Air Asia sahaja. Dia tidak mahu menaiki Air Asia ke Senai, katanya security lemah. Kalau boleh dia nak Malaysia Airlines (demand sungguh). Hu3.. setelah berbincang panjang, dia akur. Saya belikanlah ticket ke Senai. RM 140 termasuk cukai. Belum sempat bayar, Sam pula leka berbual dengan pegawai Air Asia. Saya pula, ssssssssssssssssssssssss... lesapkan diri. Tak tahu apa yang terjadi dengan Sam selepas itu. ^^ (berhati-hatilah di mana jua anda berada). Bukan tidak percaya dengan Sam ni, tetapi. Faham-faham sahajalah. Maaf...

~balance duit yang puan ******* beri selepas mnolong mengedit bukunya : RM **, beli barang keperluan minggu depan di Mydin dan makan-makan di pasar malam Jalan TAR, KL.
~Belajar rajin-rajin ye anak-anak murid sekalian... Cikgu doakan agar kalian berjaya.
~dapat hadiah dari Cikgu Elia kerana tolong dia jaga anak-anak murid di pwtc, terima kasih kak.
Wassalam.

Thursday, April 28, 2011

Ketenangan hati..


Usah dipinta untuk dijauhkan ujian, tetapi mintalah dibesarkan hati. Mintalah doa dilindungi dari “hammi wal hazan” yakni kegelisahan dan kesedihan, dan dikuatkan hati, diberi kesabaran dan ketahanan untuk menghadapi setiap ujian. Setiap ujian yang diberikan-Nya adalah untuk menguji keimanan hamba-hamba-Nya. Allah memberikan kita ujian-ujian ini supaya kita lebih dekat dengan-Nya. Redha dengan segala ujian-Nya. Kuatkan hati. Mengadu hanya kepada-Nya. Yakin bahawa Allah sentiasa ada bersama kita.

Kadangkala diberikan-Nya kita akan hati yang tidak bahagia, untuk mengingatkan kita bahawa apa yang kita nikmati sekarang ini hanyalah bersifat sementara. Hati yang gusar dan tidak tenang, adalah petanda Allah memanggil-manggil kita untuk mendengar pengaduan kita. Benar yang kita boleh merujuk kepada pakar-pakar “hati’. Percayalah bahawa semua itu tidak akan mampu untuk menyelesaikan masalah kita, sedangkan Allah itu sendiri adalah penyelesaiannya.

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan "zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Ar-Rad: 28-29)

“Dialah yang menurunkan Sakinah (ketenangan) ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada, pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Fath: 4)

9 bulan yang lalu.. Kekalkan momentum yang ada..
Muhasabah diri dan terus Istiqamah dalam semua perkara..

Monday, April 25, 2011

Memori kembali


Bismillahirrohmanirrohim....

“Ya Allah.. Ajarkanlah kami bahawa belajar ini bukan untuk sesiapa, tetapi belajar ini hanya keranaMU Ya Allah.. Belajar ini bukan untuk diri tetapi untuk seluruh umat RasulMu.. Belajar ini bukan hanya untuk saat ini bahkan untuk sepanjang zamanMu... Ajarkanlah kami apa-apa yang kami tak ketahui tentang ilmuMu... Ingatkanlah kami apa-apa yang kami lupa tentangMu... Redhailah setiap langkah kami kerana kepadaMUlah kami akan kembali...”



Terima kasih kepada sahabat-sahabat seperjuangan ketika di sekolah --> Kah Cai & Chang  Ve, atas nasihat yg diberi. Lama sudah tidak bertemu & berbual dengan kamu berdua.. Semoga berjaya menghabiskan pelajaranmu diperantauan. Kepada sahabat yang bakal bergelar guru terutama kepada Zaid I4P, Bet IPP, selamat memilih sekolah untuk praktikum ke-2 ya.. Kepada Asraf, praktikal ppc tahun 2013 ya.. lambat setahun :P. Semoga selamat pulang ke tanah air tahun depan. ^^. Akhir sekali, kepada sahabat yang paling dimanjakan, persis manjalara... ^^, Ridhwan.. Kuatkan semangatmu di IPIP... Insya Allah, jika Ibu dan Ayahmu masih ada, aku yakin, mereka pasti berbangga..

Untuk sahabat..
Jauh disudut hati,
Masihku simpan memori kita,
Jauh di dasar sukma,
Masih menebal rindu di dada
Aku tahu siapa aku
Tidak seperti sang mutiara
Kilauannya memancar pada setiap masa
Kita bukan sempurna 
Jangan dibandingkan dengan sesiapa
Kita tiada beza..
Kau Cina, India atau Melayu
Kita sama
Kita serupa

Cuba perbaikinya bersama
demi persahabatan kita

Sahabat...
Aku masih terkenang saat suka dan duka kita
Saat tawa dan tangisan kita
Dan segala kenangan yang ada
Terlakar indah di sanubari
Kalian ibarat bintang (kejora)? hu3
Yang mampu menerangi pelosok alam
Namun hadirnya mencoretkan memori
Perginya meninggalkan sepi,
Terasa dihati, sangat bererti.. ^^

Sahabat,
Takkan kulontar segala memori
Takkanku buang jiwa yang bersemi
Diri kalian tetap dilubuk hati
Dalam doa yang berpadu
Takkan kuleraikannya
Selagi hayat masih ada..

Wassalam..

Sunday, April 24, 2011

Khidmat Bakti 2/11


Bismillahirrohmanirrohim...

Alhamdulillah, selesai sudah Program Khidmat Bakti Guru Pelatih 2011 IPG Kampus Bahasa Melayu. Program ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Perwakilan Pelajar dengan kerjasama pihak pentadbiran sekolah, PIBG sekolah serta YB Adun Dusun Tua dan telah berlangsung selama sehari di Sekolah Kebangsaan Dusun Tua, Hulu Langat , Selangor Darul Ehsan.
SK Dusun Tua

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti gotong-royong sekolah, motivasi untuk murid tahun 6, aktiviti kerohanian dan sukaneka. Disebabkan program ini berlangsung selama sehari, maka aktiviti yang dilaksanakan juga adalah terhad. Pelajar IPG KBM yang terlibat dalam program ini ialah seramai 40 orang dan mereka telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk setiap aktiviti yang telah dirancang. Saya telah terpilih untuk mengendalikan aktiviti motivasi. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar.
Sesi Pendaftaran

Seperti sekolah di kawasan bandar yang pernah dikunjungi, murid sekolah ni juga aktif. Ketua pengawasnya garang(perempuan)... ^^ Baguslah garang, supaya tidak ditindas oleh rakan yang lain. Masing-masing mempunyai bakat dalam berkomunikasi. Bila tiba masa presentation, masing-masing petah melontarkan idea dan pendapat. Tidak ketinggalan kepada yang bertanya. Seronok berjumpa mereka. Semoga kalian semua beroleh kejayaan dalam UPSR.




Jawatankuasa Program
 
Mohon maaf atas segala kelemahan dan kekurangan disepanjang berlangsungnya program ini.
Terima kasih kepada semua warga SK Dusun Tua kerana sudi menerima kedatangan kami ke sekolah anda.
Moga Allah berada dalam hati kita semua da merahmati serta memberkati hidup kita muslimin dan muslimat semua. Insya Allah..
Wassalam..

Analisis Ayat..


Soalan 1 : Pada minggu depan, kampung kami akan dikunjungi pemimpin parti tersebut.

Analisis :
Ayat ini ialah ayat pasif songsang separa pelaku diri ketiga. Ayat ini mengandungi 1 subjek dan 1 prediket. Subjek ayat ini terdiri daripada “Kampung kami” manakala prediketnya pula adalah “akan dikunjungi pemimpin parti tersebut pada minggu depan.”
Pola ayat ini ialah FN+FK. Frasa nama sebagai subjek terdiri daripada Kata nama “kampung” dan kata ganti nama diri pertama iaitu “kami” yang bertindak sebagai penerang kepada kata nama “kampung”. Frasa kerja pasif sebagai prediket pula terdiri daripada kata bantu “akan”, kata kerja pasif berimbuhan awalan di_ iaitu “dikunjungi” dan pelaku diri ketiga “pemimpin parti” serta kata penentu “tersebut”. “Pemimpin” adalah merupakan kata nama manakala “parti” tergolong dalam kata nama yang berfungsi sebagai penerang kepada pemimpin.
Dalam frasa kerja sebagai predikat pula terdapat frasa sendi nama “pada minggu depan” yang berfungsi sebagai keterangan waktu kepada frasa kerja pasif. Dalam frasa sendi nama “pada minggu depan” terdapat kata sendi nama “pada”, kata nama “minggu”, dan kata nama arah “depan” yang berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “minggu”.
Ayat ini boleh ditukarkan kepada ayat aktif transitif susunan biasa seperti yang berikut : “Pemimpin parti tersebut akan mengunjungi kampung kami pada minggu depan”.
Soalan 2 : Hasil padinya berguni-guni di dalam kepuk itu.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat aktif tak transitif susunan biasa. Ayat ini terdiri daripada satu subjek dan satu prediket. Subjek ayat terdiri daripada “Hasil padinya” manakala prediket ayatnya pula adalah “berguni-guni di dalam kepuk itu”
Pola ayat ini terdiri daripada FN+FK. Frasa nama sebagai subjek terdiri daripada kata nama “hasil” dan kata “padi” ialah kata nama yang berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “hasil” serta kata ganti nama diri ketiga “-nya” yang dirapatkan dengan kata “padi” kerana unsur klitik.
Frasa kerja sebagai prediket pula adalah terdiri daripada frasa kerja dan frasa sendi nama. Frasa kerja terdiri daripada kata kerja tak transitif yang dibentuk oleh kata nama ganda seluruh iaitu “guni-guni” yang menerima imbuhan awalan ber_ iaitu “berguni-guni”.
Frasa sendi nama pula berfungsi sebagai penerang kepada kata kerja tak transitif “berguni-guni” yang terdiri daripada kata sendi nama “di”, kata nama arah “dalam”, kata nama “kepuk” dan kata penentu “itu”
Ayat ini boleh ditukar kepada ayat aktif tak transitif susunan songsang seluruh prediket seperti yang berikut : “Berguni-guni di dalam kepuk itu hasil padinya”.
Soalan 3 : Dengan segeranya kami laksanakan perintah yang kami terima itu.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat pasif songsang seluruh prediket pelaku diri pertama.  Ayat ini terdiri daripada satu subjek dan satu prediket. Subjek ayat terdiri daripada kata “perintah yang kami terima itu” manakala prediket ayat pula ialah “kami laksanakan dengan segeranya”
Pola ayat ini terdiri daripada Frasa nama + Frasa kerja. Frasa nama sebagai subjek terdiri daripada kata nama “perintah”, kata sandang “yang” yang berfungsi sebagai kata nama, kata ganti nama diri pertama “kami”, kata kerja “terima” dan kata penentu “itu”. Kata “yang kami terima itu” merupakan frasa nama yang berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “perintah”.
Frasa kerja sebagai prediket pula terdiri daripada frasa kerja pasif dan frasa sendi nama. Frasa kerja pasif terdiri daripada kata ganti nama diri pertama “kami” dan diikuti dengan kata keja pasif berimbuhan akhiran _kan iaitu “laksanakan”, manakala frasa sendi nama pula terdiri daripada kata sendi nama “dengan”, kata keterangan masa “segera” dan kata ganti nama diri ketiga “-nya”. Frasa sendi nama “dengan segeranya” berfungsi sebagai keterangan kepada kata kerja pasif “laksanakan”.
Ayat ini boleh ditukar kepada ayat aktif transitif susunan biasa seperti yang berikut : “Kami melaksanakan perintah yang kami terima itu dengan segeranya”.
Soalan 4 : Di seluruh negara orang sibuk memperkatakan kenaikan harga minyak.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat aktif transitif songsang terbahagi pelaku diri ketiga. Ayat ini mengandungi satu subjek dan satu prediket. Subjek ayat terdiri daripada kata “orang” manakala prediket ayatnya pula adalah “sibuk memperkatakan kenaikan harga minyak di seluruh negara”.
Pola ayat ini terdiri daripada frasa nama +frasa kerja. Frasa nama sebagai subjek terdiri daripada kata nama “orang”. Frasa kerja sebagai prediket ayat pula terdiri daripada frasa kerja dan frasa sendi. Frasa kerja terdiri daripada frasa adjektif “sibuk” yang berfungsi sebagai kata bantu yang hadir sebelum kata kerja transitif berimbuhan apitan memper_kan iaitu “memperkatakan”, kata nama berimbuhan apitan ke_an iaitu “kenaikan”, kata nama “harga” dan kata nama “minyak”. “kenaikan harga minyak” adalah merupakan frasa nama yang berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif “memperkatakan”. “Harga minyak” berfungsi sebagai penerang kata nama “kenaikan” manakala kata nama “minyak” juga berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “harga”. Frasa sendi nama pula terdiri daripada kata sendi nama “di”, kata bilangan tak tentu “seluruh” yang bertindak sebagai kata bantu kepada kata “negara” dan kata nama “negara”. Frasa sendi nama “di seluruh negara” berfungsi sebagai penerang kepada frasa nama “kenaikan harga minyak”.
Ayat ini boleh ditukar kepada ayat aktif transitif susunan biasa seperti yang berikut : “Orang sibuk memperkatakan kenaikan harga minyak di seluruh negara”.
Soalan 5 : Ke mana-mana sahaja pengedar dadah itu terus diburu polis.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat pasif songsang terbahagi pelaku diri ketiga. Ayat ini mengandungi satu subjek dan satu prediket. Subjek ayat ini terdiri daripada “pengedar dadah itu” manakala prediketnya pula terdiri daripada “terus diburu polis ke mana-mana sahaja”.
Pola ayat ii terdiri daripada frasa nama + frasa kerja. Frasa nama sebagai subjek terdiri daripada kata nama “pengedar”, kata nama “dadah” dan kata penentu “itu”. Kata nama “dadah” berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “pengedar”. Frasa kerja pasif sebagai prediket pula terdiri daripada frasa kerja pasif dan frasa sendi nama.
Frasa kerja pasif terdiri daripada kata “terus” yang berfungsi sebagai kata bantu yang hadir sebelum kata kerja pasif berimbuhan awalan di_ iaitu kata “diburu” dan kata nama “polis” yang berfungsi sebagai objek kepada kata kerja pasif “diburu”. Frasa sendi nama pula terdiri daripada kata sendi nama “ke”, diikuti dengan kata ganti tak tentu “mana-mana” dan kata nama “sahaja”. Kata “ke mana-mana sahaja” bertugas sebagai penerang kepada kata nama “polis”.
Ayat ini boleh ditukar kepada ayat aktif transitif susunan biasa seperti yang berikut : “Polis terus memburu pengedar dadah itu ke mana-mana sahaja”.
Soalan 6 : Saya jelaskan kepadanya bahawa pemimpin itu tidak amanah terhadap rakyatnya.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat pasif songsang seluruh prediket pelaku diri pertama dengan klausa sebagai subjek. Subjek ayat terdiri daripada klausa “bahawa pemimpin itu tidak amanah terhadap rakyatnya” manakala prediket ayat ialah “saya jelaskan kepadanya”.
Klausa sebagai subjek terdiri daripada subjek “pemimpin itu” dan prediketnya terdiri daripada “tidak amanah terhadap rakyatnya” dan kata “bahawa” adalah merupakan kata hubung. Subjek dalam klausa terdiri daripada frasa nama “pemimpin itu”. Kata “pemimpin” ialah merupakan golongan kata nama dan “itu” ialah kata penentu. Prediket klausa terdiri daripada frasa adjektif yang terbina daripada kata nafi “tidak”, kata adjektif “amanah” dan frasa sendi nama “terhadap rakyatnya”. Frasa sendi nama terdiri daripada kata sendi nama “terhadap”, kata nama “rakyat” dan kata ganti nama diri ketiga “-nya”.
Prediket ayat pasif pelaku diri pertama ini terdiri daripada frasa kerja pasif pelaku diri petama “saya jelaskan” dan frasa sendi nama “kepadanya”. Frasa kerja pasif pelaku diri pertama terikat dengan hukum aneksi persona iaitu antara kata ganti nama diri pertama dengan kata kerja pasif tidak boleh hadir perkataan lain. Dalam frasa sendi nama terdapat kata sendi nama “kepada” dan kata ganti nama diri ketiga “-nya”.
Ayat ini boleh ditukarkan kepada ayat aktif susunan biasa seperti yang berikut : “Saya menjelaskan bahawa pemimpin itu tidak amanah terhadap rakyatnya kepadanya.”
Soalan 7 : Kawasan kediamannya itu bagaimana keadaannya?
Analisis :
Ayat ini ialah ayat tanya dengan kata tanya susunan biasa dengan klausa sebagai prediket.
Subjek ayat terdiri daripada frasa nama iaitu “kawasan kediamannya itu” manakala prediket ayat adalah “bagaimana keadaannya”. Predikat ayat ini terdiri daripada klausa yang terdiri daripada subjek dan predikat. Dalam klausa ini, susunan subjek dan predikat disongsangkan seperti yang berikut : “bagaimana keadaannya”. Klausa sebagai prediket terdiri daripada subjek “keadaannya” dan prediket terdiri daripada kata “bagaimana”. Subjek dalam klausa terdiri daripada frasa nama “keadaannya”. “Keadaannya” ialah golongan kata nama dan “-nya” ialah kata ganti nama diri pertama dan diikuti dengan tanda tanya (?). Prediket klausa pula terdiri daripada kata tanya “bagaimana”.
Subjek ayat tanya dengan kata tanya susunan biasa dengan klausa sebagai prediket ini terdiri daripada frasa nama “kawasan kediamannya itu”. Kata “kawasan” adalah golongan kata nama, kata “kediamannya” juga ialah kata nama yang berfungsi sebagai penerang kepada kata “kawasan” dan kata “itu” ialah kata penentu. Kata nama “kediaman” diikuti dengan kata ganti nama diri ketiga “-nya” dalam keadaan kedua-dua kata ini dirapatkan antara satu sama lain kerana unsur klitik.
Ayat ini boleh ditukar menjadi ayat tanya susunan songsang sepenuhnya seperti  yang berikut : “Bagaimanakah keadaannya kawasan kediamannya itu?”
Soalan 8 : Pihak polis menerangkan bahawa pendatang asing itu telah melarikan diri.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat aktif transitif susunan biasa dengan klausa sebagai objek. Subjek ayat terdiri daripada “pihak polis” manakala prediket ayat pula terdiri daripada kata “menerangkan bahawa pendatang asing itu telah melarikan diri”.
Klausa sebagai objek terdiri daripada “bahawa pendatang asing itu telah melarikan diri”. Subjek ayatnya ialah kata “pendatang asing itu” dan prediketnya pula adalah “telah melarikan diri” dan kata “bahawa” pula ialah kata hubung. Klausa sebagai objek ini hadir selepas kata kerja transitif berimbuhan apitan men_kan iaitu kata “menerangkan”. Jadi, klausa “bahawa pendatang asing itu telah melarikan diri” merupakan klausa objek kerana hadir selepas kata kerja transitif “menerangkan”. Subjek dalam ayat ini terdiri daripada frasa nama “pendatang asing itu”. “Pendatang” ialah kata nama manakala “asing” juga ialah kata nama yang bertindak sebagai penerang kepada kata “pendatang” dan kata “itu” pula ialah kata penentu yang menjadi penentu kepada subjek. Prediket klausa pula adalah teridiri daripada frasa kerja yang terbina daripada kata bantu “telah”, kata kerja transitif berimbuhan apitan me_kan iaitu “melarikan” dan kata nama “diri”. Kata-kata lain tidak boleh diletakkan di antara kata kerja transitif dengan objek.
Subjek ayat aktif transitif susunan biasa ini dengan klausa sebagai objek ini terdiri daripada frasa nama pelaku diri ketiga iaitu “pihak polis”. “Pihak” ialah kata nama manakala “polis” juga adalah kata nama yang berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “pihak”.
Ayat ini boleh ditukar menjadi ayat pasif susunan biasa dengan klausa sebagai subjek seperti yang berikut : “Bahawa pendatang asing itu telah melarikan diri diterangkan oleh pihak polis”.
Soalan 9 : Penduduk disitu berpendapat bahawa kediaman mereka tidak selamat.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat aktif tak transitif susunan biasa dengan klausa sebagai pelengkap. Subjek ayat terdiri daripada kata “penduduk di situ” manakala prediket ayat pula adalah “berpendapat bahawa kediaman mereka tidak selamat”.
Klausa sebagai pelengkap terdiri daripada “bahawa kediaman mereka tidak selamat”.  Subjek ayat iaitu “kediaman mereka” manakala prediket ayat adalah “tidak selamat” dan kata “bahawa” pula adalah merupakan kata hubung. Klausa sebagai objek ini pula wujud selepas kata kerja tak transitif berimbuhan awalan ber_ iaitu “berpendapat”. Jadi klausa “bahawa kediaman mereka tidak selamat” merupakan klausa pelengkap kerana hadir selepas kata kerja tak transitif “berpendapat” yang bertugas sebagai pelengkap dalam ayat tersebut. Subjek dalam klausa terdiri daripada frasa nama “kediaman mereka”. “Kediaman” ialah kata nama dan “mereka” ialah kata ganti nama diri ketiga yang bertindak sebagai penerang kepada kata nama “kediaman”. Prediket klausa pula terdiri daripada frasa nama yang terbina daripada kata nafi “tidak” dan kata nama “selamat”.
Subjek ayat aktif tak transitif susunan biasa dengan klausa sebagai pelengkap ini terdiri daripada kata nama “penduduk” dan frasa sendi nama “di situ” yang terdiri daripada kat sendi nama “di” dan kata tunjuk “situ” yang berfungsi sebagai kata ganti tempat.
Ayat ini boleh ditukar menjadi ayat aktif tak transitif songsang seluruh pradiket dengan klausa sebagai pelengkap seperti yang berikut : “Berpendapat bahawa kediaman mereka tidak selamatlah oleh penduduk di situ”.
Soalan 10 : Kakitangan pejabat itu mendapat pengesahan bahawa pengarah baharu itu bukan orang tempatan.
Analisis :
Ayat ini ialah ayat aktif transitif susunan biasa pelaku diri ketiga dengan klausa sebagai penerang. Subjek ayat terdiri daripada kata “kakitangan pejabat itu” manakala prediket ayatnya pula ialah terdiri daripada “mendapat pengesahan bahawa pengarah baharu itu bukan orang tempatan”.
Klausa sebagai penerang terdiri daripada subjek “pengarah baharu itu” manakala prediket ayat pula terdiri daripada kata “bukan orang tempatan” dan kata “bahawa” ialah kata hubung. Klausa sebagai penerang iaitu kata “bahawa pengarah baharu itu bukan orang tempatan” hadir selepas kata nama berimbuhan apitan penge_an iatu kata “pengesahan”. Kata “pengesahan” pula wujud selepas kata kerja transitif berimbuhan awalan men_ iaitu kata “mendapat”. Maka kata “pengesahan” bertindak sebagai penerang kepada kata kerja “mendapat”. Oleh yang demikian, klausa “bahawa pengarah baharu itu bukan orang tempatan” merupakan klausa penerang kerana hadir selepas kata nama “pengesahan” yang bertugas sebagai penerang dalam ayat tersebut. Subjek dalam klausa terdiri daripada frasa nama “pengarah baharu itu”. “Pengarah ialah kata nama manakala “baharu” pula ialah kata adjektif yang menjadi penerang kepada kata nama “pengarah” dan kata “itu” ialah kata penentu. Prediket klausa pula terdiri daripada frasa nama yang terbina daripada kata nafi “bukan”, kata nama “orang” dan kata nama “tempatan” yang bertugas sebagai penerang kepada “pengarah baharu itu”.
Subjek ayat aktif transitif susunan biasa pelaku diri ketiga dengan klausa sebagai penerang ini terdiri daripada frasa nama “kakitangan pejabat itu”. “Kakitangan” ialah kata nama manakala kata “pejabat” juga ialah kata nama yang berfungsi sebagai penerang kepada kata nama “pejabat” dan kata “itu” ialah kata penentu.
Ayat ini boleh ditukar menjadi ayat pasif susunan biasa pelaku diri ketiga dengan klausa sebagai penerang seperti yang berikut : “Pengesahan bahawa pengarah baharu itu bukanlah orang tempatan didapati oleh kakitangan pejabat itu.”